Tarikh peralihan fasa endemik ditentukan minggu hadapan

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan tarikh sebenar peralihan fasa endemik negara akan ditentukan minggu hadapan selepas Mesyuarat Kuartet Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penangguhan peralihan fasa endemik dijangka hanya dalam tempoh kira-kira dua ke tiga minggu sahaja berdasarkan perkembangan situasi semasa.

Justeru, laporan berkenaan kesan banjir, varian Omicron dan impak pengembara pulang ke tanah air akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan.

"Saya akan menerima taklimat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Luar Negeri, pihak-pihak lain untuk kita bentangkan kepada Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Beliau akan menentukan, membuat keputusan seterusnya mengumumkan bila tarikh sebenarnya untuk kita mula beralih ke fasa endemik.

"Tapi penangguhan tu hanya sementara dan paling penting peralihan kita ni bukan dilakukan semberono,"katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat di Kementerian Pertahanan pada Isnin.

Sebelum ini Hishammuddin dilaporkan berkata berdasarkan perancangan asal, pengumuman 'Peralihan ke Endemik' itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron, selain kesan daripada individu yang kembali daripada luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, kerajaan pada bila-bila bersedia membuat pengumuman atau mengisytiharkan fasa 'Peralihan ke Endemik' kerana setiap negeri masing-masing sudah memasuki fasa ke-4.