Gagal dapat RM10,000, wang proses RM44,702 juga lesap

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki kerugian lebih RM44,000 selepas menjadi mangsa tawaran pinjaman wang tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook, Selasa lalu.

Mangsa berusia 26 tahun membuat pinjaman RM10,000 namun telah diperdaya hingga terpaksa membayar wang proses empat kali ganda nilai pinjaman.

Malangnya, mangsa bukan sahaja tidak menerima wang pinjaman malah wang proses lebih RM44,702 yang telah dibayar turut lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan lalu berhubung dengan ejen pinjaman bernama Allen Wong melalui aplikasi Whatsapp.

Menurutnya, mangsa telah berbincang dengan lelaki itu dan bersetuju untuk meminjam RM10,000 sebelum dia diminta membuat beberapa bayaran untuk proses kelulusan.

"Mangsa akur apabila membuat transaksi bayaran melalui tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM44,702.

"Selepas bayaran itu dibuat, mangsa gagal mendapatkan wang pinjaman seperti dijanjikan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan RM3,500," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Wazir berkata, mangsa tidak membuat bayaran itu kerana telah kehabisan wang selain mulai curiga dan syak telah ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Beserah di sini pada Sabtu untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Wazir berkata, polis mengesan pemilik tujuh akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.