Tawaran sambung pengajian untuk doktor perubatan, pergigian kontrak

Tangkap layar kenyataan KKM pada Sabtu.
Tangkap layar kenyataan KKM pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka tawaran kepada pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan gunasama KKM lantikan tetap serta pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak bagi mengikuti pengajian di peringkat Sarjana, Area of Special Interest (AOSI), Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kepakaran mulai 28 Januari depan.

Ketua Setiausaha KKM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pemakluman awal itu dibuat bagi membolehkan pegawai yang berminat mengikuti pengajian tersebut membuat persediaan sewajarnya.

Menurut kenyataan itu, pembukaan tawaran kali ini berbeza berbanding tahun-tahun lepas di mana pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak kini turut diberikan peluang untuk mengikuti Program Latihan Kepakaran (PLK) di peringkat Sarjana atau Parallel Pathway.

“Sebelum ini, hanya pegawai lantikan tetap sahaja diberikan peluang untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan.

“Langkah ini selaras dengan keputusan kerajaan pada 14 Julai 2021 agar KKM bersama kementerian dan agensi pusat yang lain merangka pelan kerjaya yang komprehensif serta inklusif untuk pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

“Pegawai-pegawai yang memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan menerusi sistem e-HLP KKM seperti berikut: http://ehlp.moh.gov.my,” katanya.

Tambahnya, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM100 juta kepada KKM untuk manfaat sehingga 3,000 pegawai lantikan kontrak.

“KKM ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bersama-sama merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk memberi tawaran baharu kepada pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak di KKM," katanya.

Artikel Berkaitan: