Awang si pemikat kerbau liar

Kerbau denak berusia dua tahun digelar Awang jinak dan sering dibawa bermain di kawasan Dataran Kampung Dusun, Hulu Terengganu.
Kerbau denak berusia dua tahun digelar Awang jinak dan sering dibawa bermain di kawasan Dataran Kampung Dusun, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Walaupun baru berusia dua tahun, aura yang ada pada seekor kerbau denak digelar Awang mampu memikat serta menjinakkan kerbau-kerbau liar yang berkeliaran di dalam hutan sekali gus memberikan pulangan kepada pemiliknya.

Muhammad Zulfaqar Aiman Kamarulzaman, 18 berkata, dengan bantuan Awang dia boleh mendapat upah sekitar RM300 dan RM350 hingga RM500 bagi setiap seekor kerbau yang dijinakkan menerima upah bergantung kepada kesukaran serta lokasi untuk menjinakkan kerbau liar.

"Awang adalah kerbau milik bapa saya yang dibeli dengan harga RM3,500 daripada seorang penternak di Manir, Kuala Terengganu dan sudah berjaya menjinakkan lebih 10 ekor kerbau liar termasuk di luar Terengganu seperti di Johor dan Negeri Sembilan.

"Buat masa ini, Awang jarang mengecewakan setiap kali dibawa ke tengah hutan untuk menjinakkan kerbau-kerbau liar sejak ia dijadikan denak tujuh bulan lalu," katanya ketika ditemui di Kampung Dusun, di sini.

Muhammad Zulfaqar Aiman berkata, Awang disifatkan sebagai seekor kerbau istimewa kerana berjaya dilatih dan jinak dalam tempoh dua bulan sebelum dijadikan denak untuk menangkap kerbau liar.

"Ketika mula dibeli Awang tidak jinak seperti sekarang dan agak liar. Selepas dilatih kira-kira dua bulan, Awang berubah menjadi jinak dan manja.

"Awang juga mudah menerima arahan dan tidak pernah mengamuk. Disebabkan terlalu baik dan jinak, ia sering dimandikan dan dibawa bermain oleh adik-adik saya pada setiap petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Zulfaqar Aiman (dua dari kiri) bersama kerbau denak peliharaannya yang akan dimandikan di kawasan sungai di Dataran Kampung Dusun di Hulu Terengganu.
Muhammad Zulfaqar Aiman (dua dari kiri) bersama kerbau denak peliharaannya yang akan dimandikan di kawasan sungai di Dataran Kampung Dusun di Hulu Terengganu.

Tambah Muhammad Zulfaqar Aiman, aktiviti memandikan kerbau menjadi rutin setiap petang oleh tiga adiknya iaitu Muhammad Syazrul Haikal, 14, Muhammad Zulfikar Izham, 11 dan Siti Marsyaidatul Aleesya, 10 di kawasan sungai di kawasan dataran di kampung mereka.

"Setiap petang Awang dibawa ke Dataran Kampung Dusun untuk dimandikan, makan rumput dan bermain.. Selain dijadikan denak, Awang juga disayangi oleh adik-adik saya dan dijadikan sebagai 'rakan' untuk bermain," katanya.

Bercerita pengalaman menjinak kerbau liar, Muhammad Zulfaqar Aiman berkata, dia mewarisi kemahiran itu hasil pengalaman mengikut bapanya, Baharun Ismail, 51, menjinakkan kerbau liar sejak berusia 12 tahun.

Katanya, aktiviti menjinakkan kerbau liar itu dilakukan di bawah pemantauan bapanya sambil dibantu rakannya, Muhamad Syahrun Iqbal, 21 Mohd Syukri, 23 dan Rahimi Zikri,18.

Sementara itu, Baharun berkata, menjinakkan kerbau liar adalah berisiko kerana kerbau liar di dalam hutan biasanya berada dalam kumpulan sehingga mencecah 50 ekor.

"Kalau tiada denak memang tak boleh masuk hutan dengan tangan kosong kerana kerbau-kerbau liar ini begitu agresif dan ganas. Jika tersilap langkah kita mungkin ditanduk, disondol atau dicederakan oleh haiwan tersebut.

"Biasanya kita menggunakan jerat jenis sauk. Selepas kerbau itu mendekati denak, kita akan menangkapnya menggunakan sauk. Mata dan telinganya juga ditutup dengan kain supaya haiwan berkenaan tidak agresif dan senang untuk dibawa keluar daripada hutan," katanya.

Kata Baharun lagi, dia kini tidak begitu aktif menjinakkan kerbau liar yang dijalankan sejak belasan tahun lalu kerana sudah tidak begitu banyak kerbau liar di Terengganu.

Menurutnya, bagaimanapun aktiviti itu masih diwarisi anaknya memandangkan kerja menjinakkan kerbau liar mendapat permintaan tinggi di luar Terengganu.

"Sebelum ini saya ada empat ekor kerbau dijadikan denak, tetapi saya menjualnya dan membeli Awang.

"Hanya kerbau jantan dijadikan sebagai denak. Harga bagi kerbau denak juga mahal sekarang, dan ada kerbau yang mencecah harga RM8,000 seekor, " akhirinya.