MOSTI tumpu pembangunan ekosistem EV melalui Emerge

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS), kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan menerusi program Enabling Mobility Electrification for Green Technology (Emerge) diterajui NanoMalaysia Bhd, yang antara lain bagi meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV.

"Fokus diberikan kepada kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan para pengusaha EV tempatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Adham berkata, MOSTI dan NanoMalaysia telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri EV untuk berkongsi pengetahuan serta kepakaran dalam usaha memperkasakan sektor teknologi tenaga lestari itu.

Sebagai tanda sokongan terhadap industri EV, katanya, beliau juga akan menggunakan skuter elektrik Eclimo ES-11 sebagai medium perjalanan jarak dekat di sekitar Putrajaya.

Skuter elektrik dikuasakan dengan bateri berstruktur nano yang memberi manfaat kepada alam sekitar itu, dibangunkan bersama MOSTI, NanoMalaysia serta Eclimo Sdn Bhd dan diserahkan kepada beliau pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Adham berkata, MOSTI telah mengenal pasti sistem penyimpanan tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam sekitar serta mampu mengurangkan penggunaan bahan api.

Katanya, ia dicapai menerusi program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga sebagai sebahagian usaha MOSTI mencapai status negara neutral karbon seawal 2050,” katanya. - Bernama