YB Terence diminta kemuka laporan bertulis kepada DAP

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu diminta mengemukakan laporan bertulis kepada DAP berhubung penahanannya dalam serbuan polis di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam Pulau Pinang pada Khamis.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, laporan lengkap itu diperlukan agar pimpinan parti baik di peringkat negeri mahupun Pusat dimaklumkan situasi sebenar yang berlaku.

"Saya telah menghubungi Terence Naidu dan mengesahkan bahawa beliau telah ditangkap pada malam Khamis lepas.

"Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis, sehubungan itu saya telah meminta agar beliau mengemukakan laporan bertulis berhubung kejadian itu kepada parti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, DAP memberi jaminan kepada orang ramai bahawa parti itu memandang serius kelakuan dan integriti setiap wakil rakyatnya.

"Mereka seharusnya menjadi contoh teladan sebagai orang yang telah diamanahkan untuk memimpin rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Terence Naidu dalam mesej ringkas kepada pemberita memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kes itu.

"Saya telah membuat laporan polis dan akan membuat kenyataan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan sebelum ini menyebut, seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai, Pulau Pinang pada jam 9 malam, Khamis.