Pengurusan masjid tidak patut buat hukuman sendiri: Idris
SHAH ALAM - Orang ramai termasuk pengurusan masjid tidak sepatutnya melaksanakan sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap individu disyaki mencuri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Idris berkata, meskipun perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah dilarang oleh agama, namun orang ramai tidak sepatutnya bertindak sendirian kerana ia boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu disyaki.
“Ingin ditegaskan bahawa perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya.
“Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambl sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar.
“Perkara seumpama ini sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat yang mengulas mengenai isu tular melibatkan seorang remaja yang mencuri di sebuah masjid baru-baru ini.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, seorang pemuda dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap mencuri duit tabung masjid.
Video berdurasi seminit 25 saat tular di media sosial, telah dikongsikan pengguna Twitter, dengan memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dan dimandikan oleh pihak masjid sambil diperhatikan penduduk kampung.
Dalam pada itu, Idris juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki.
Katanya, perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.
Pada masa sama, Idris berkata, masyarakat juga diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan turut mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang berlaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.
“Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita,” ujarnya.