Kem baharu tentera di Lahad Datu akan dibina tahun ini

 Hishammuddin dalam sidang akhbar sempena lawatan beliau ke Markas Angkatan Tugas Bersama di Tawau.
Hishammuddin dalam sidang akhbar sempena lawatan beliau ke Markas Angkatan Tugas Bersama di Tawau.
A
A
A

TAWAU - Pembinaan kem baharu tentera darat di Felda Sahabat, Lahad Datu akan dimulakan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM646.15 juta.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembinaan kem tentera darat itu adalah satu daripada dua inisiatif baharu dilaksanakan bagi memperkasakan keselamatan dan pertahanan di Sabah.

"Dalam masa terdekat ini, satu kem baharu bagi tentera darat akan dimula pembinaannya di Felda Sahabat di Lahad Datu.

"Ini bukan kerana digembar-gemburkan baru-baru ini di Parlimen, kerana nak dapatkan keputusan-keputusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan prosesnya mengambil masa tetapi saya sengaja tak nak menjawab, tetapi kita umumkan di Lahad Datu kem yang nilainya RM646,156,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan kem ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatannya ke Markas Angkatan Tugas Bersama di sini, pada Jumaat.

Katanya lagi, tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged.

"Ini adalah sebagai usaha untuk meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangani ancaman semasa sekali gus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah," katanya.

Mengulas lanjut, satu lagi inisiatif yang dilaksanakan adalah merancakkan semula dan memperkasa Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat saya di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan.

"Sehubungan itu, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya," katanya.

Tambah beliau, hasrat menghidupkan semula TCA ini turut disuarakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan di Kota Kinabalu pada Khamis.

"Dua inisiatif baharu yang saya umumkan hari ini hanya sebahagian. Banyak lagi perancangan khusus untuk keselamatan Sabah yang akan saya umumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum itu, Hishammuddin memaklumkan perkara yang menarik perhatiannya adalah berhubung tiada rekod penculikan baharu dilaporkan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sepanjang 2021.

"Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) maklumkan kepada saya bahawa secara relatifnya, ESSZone adalah

selamat dan terkawal.

"Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCom akan mengendurkan operasinya. Sebaliknya, ESSCom akan terus diperkukuhkan

lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa," katanya.