Bantuan awal persekolahan diagih 17 Januari

Pemberian BAP dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun.
Pemberian BAP dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid yang bakal memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan diagihkan pada 17 Januari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataannya memaklumkan, pemberian BAP dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun.

"Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut KPM, murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang berada di sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan tersebut.

Sementara itu, bagi murid Tahun Satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.

"Bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini," kata kenyataan itu lagi.

Kementerian itu memaklumkan, manfaat bantuan itu akan diterima seramai 3 juta penerima BAP.

"KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan 21 Mac depan," menurut kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan: