Kes tipu jual makanan Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur menerima empat laporan berkaitan kes tipu pembelian makanan dalam talian membabitkan kerugian RM51,400 sejak Ahad hingga Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa telah berurusan menempah makanan bagi sambutan Tahun Baharu Cina melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek yang tidak dikenali.

Menurutnya, suspek kemudiannya telah memberikan satu pautan laman sesawang untuk pembayaran wang pendahuluan.

"Mangsa telah mendaftar dan mengisi maklumat perbankan miliknya seperti mana yang diarahkan suspek," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Mahidisham berkata, kesemua mangsa menyedari ditipu apabila terdapat beberapa transaksi pindahan wang dari akaun bank mangsa ke dalam akaun bank suspek.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan: