Banjir di Malaysia: Singapura sedia hulur bantuan lanjut

Dr Vivian Balakrishnan
Dr Vivian Balakrishnan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura bersedia untuk memberikan sebarang bantuan lanjut kepada Malaysia susulan kejadian banjir baru-baru ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.

“Kami bersedia untuk memberikan sebarang bantuan lanjut jika Malaysia memerlukannya,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen mengenai banjir di Malaysia pada Rabu.

Dr Balakrishnan ditanya sama ada terdapat usaha oleh kerajaan Singapura untuk menghulurkan sebarang jenis sokongan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

Dalam jawapannya, beliau mengulangi bahawa Singapura berdiri teguh bersama Malaysia pada waktu yang sukar ini.

Menteri itu memaklumkan bahawa beliau mengutus surat kepada rakan sejawatannya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pada Disember 2021 untuk mengucapkan takziah dan menawarkan bantuan Singapura.

Pada 22 Disember, Dr Balakrishnan berkata, kerajaan Singapura turut menyumbang AS$60,000 sebagai bantuan awal menyokong usaha pungutan dana Palang Merah Singapura untuk membantu pemulihan bencana di Malaysia serta Filipina, yang terjejas akibat Taufan Rai.

Sumbangan kerajaan Singapura menambah ikrar Palang Merah Singapura sebanyak AS$50,000 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia yang disumbangkan untuk penggunaan penjagaan kesihatan kecemasan dan pengagihan bekalan bantuan ke pusat pemindahan, tambahnya.

Pada Disember 2021 dan awal Januari 2022, Malaysia mengalami banjir di Kuala Lumpur dan sembilan negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Banjir di Malaysia mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda secara besar-besaran, menyebabkan kesusahan dan penderitaan kepada masyarakat yang terjejas. - Bernama