MBSA terima lebih 500 permohonan baiki rumah

Zamani Ahmad
Zamani Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) menerima lebih 500 permohonan pembaikan pendawaian elektrik rumah daripada mangsa banjir.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, permohonan itu bermula Ahad dan berakhir pada Selasa.

Menurutnya, MBSA akan menghantar permohonan tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya pihak berkenaan boleh mengeluarkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan berkenaan.

“Penduduk akan memaklumkan kos pembaikan pada borang permohonan tersebut yang akan dihantar kepada pihak KPKT.

“Bagi kos pembaikan yang melebihi RM5,000, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan membuat semakan di rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zamani memberitahu, walaupun pihak KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk pembaikan infrastruktur rumah terjejas banjir namun ia bergantung kepada jumlah rumah yang perlu dibaiki berdasarkan bilangan permohonan yang dihantar oleh PBT.

Beliau turut memaklumkan mangsa banjir yang ingin memohon peruntukan untuk baik pulih rumah boleh membuat permohonan sehingga Khamis ini tetapi akan dilanjutkan jika perlu.

Pada Ahad, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan peruntukan awal sejumlah RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam yang terjejas akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah tersebut disalurkan kepada 51 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bergantung kepada laporan yang diberikan kepada KPKT.