X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Bawa inspirasi dari Australia, Naim tekad jual kopi guna van

Naim memunjukkan dua jenis kopi yang dijual di van miliknya.
A
A

PENGALAMAN bekerja di Australia pada tahun 2013 memberi inspirasi kepada seorang pemuda bagi mengusahakan sendiri perniagaan yang berasaskan kopi menggunakan food truck.

Hanya bekerja sebagai pembantu pembancuh kopi di Australia, Wan Mohd Naim Wan Mohd Gazi tekad menjalankan perniagaan kopi menggunakan sebuah van sejak bermula awal tahun 2021.

Dia sangat terinpirasi dengan budaya masyarakat Australia yang menjadikan kopi sebagai medium terbaik untuk hidup bermasyarakat.

"Saya masih ingat, penduduk di Australia memang suka minum kopi. Jadi bos saya buka food truck jual kopi secara jalanan. Di mana sahaja kami rasa sesuai, kami hentikan van dan buka kedai.

Naim kini membuka 'kedai' dirumahnya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Naim kini membuka 'kedai' dirumahnya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

"Daripada situ juga saya tengok mereka berbudaya, menjalinkan hubungan kemasyarakatan dengan lebih erat dan mengambil berat antara satu sama lain.

"Selepas beberapa tahun, saya pulang ke Malaysia dan terfikir, kenapa saya tidak boleh buat di Malaysia sedangkan kita ada masyarakat berbilang kaum yang meminati kopi ini," katanya.

Berniaga di rumah

Naim memberitahu, selepas pulang dari Australia, dia sempat bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan di negeri ini namun mengambil keputusan berhenti selepas pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2019.

Selepas itu, dia nekad untuk membuka perniagaan kopi menggunakan jenama Van's Street Coffee dengan menggunakan sebuah van kecil yang diubah menjadi konsep food truck.

Awal Januari tahun lalu, bapa kepada seorang cahaya mata ini mula menjelajah kawasan menggunakan van berkenaan untuk menjual kopi hasil air tangannya kepada orang ramai di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, panas tidak sampai ke petang, perniagaannya sedikit teruji apabila kerajaan menguatkuasakan kembali perintah kawalan pergerakan (PKP), dia mengambil keputusan untuk terus berniaga di rumah sahaja.

"Bila PKP, saya tidak boleh keluar seperti biasa. Jadi saya ambil keputusan buka food truck depan rumah saja, selain buat penghantaran dari rumah ke rumah. Pada mulanya seorang dua sahaja pelanggan, tapi bila semua sudah tahu, makin ramailah datang.

Kopi yang sudah siap dibancuh juga disediakan Naim berdasarkan permintaan orang ramai.
Kopi yang sudah siap dibancuh juga disediakan Naim berdasarkan permintaan orang ramai.

"Jadi saya pun ambil keputusan untuk terus berada di rumah sahaja. Saya letak bangku di hadapan rumah di Jalan Sultan Yahya Petra. Saya masih kekalkan lagi jualan diatas van namun saya tidak bergerak kecuali atas jemputan tertentu.

"Buat masa ini, saya ke Hotel H Elite setiap Sabtu untuk buka van di sana. Ahad hingga Khamis pula saya akan berada di rumah. Jumaat rehat," katanya kepada Sinar Harian di Jalan Wakaf Siku Kota Bharu, di sini pada Isnin.

Belajar buat kopi

Ketika ditanya mengenai kepakaran membuat kopi berkenaan, Naim memberitahu, pada awalnya dia adalah seorang yang 'zero' bila bercakap mengenai kopi.

Namun pengalaman dan ilmu yang diambil dari Australia menjadikan dia lebih bersemangat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai pembuatan minuman tersebut di Malaysia.

"Saya ada seorang kawan yang yang arif mengenai pembuatan kopi ini, saya pun belajar dari dia. Bermula dari pemilihan kopi sehinggalah ia diminum pelanggan. Semuanya ada nilai tersendiri. Alhamdulilah, berkat ilmu yang dipelajari, saya cuba buat sendiri.

Naim membawa inspirasi dari Australia untuk setiap gerak kerja yang dilakukannya.
Naim membawa inspirasi dari Australia untuk setiap gerak kerja yang dilakukannya.

"Pada mulanya saya takut untuk melakukannya sebab peniaga kopi biasanya adalah orang yang hebat, tapi saya biasa saja. Namun saya cuma fikir satu sahaja, saya jual kopi untuk menambah kenalan, untuk hidup bermasyarakat dengan peminat-peminat kopi dari seluruh dunia.

"Jadi ia membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan Alhamdulilah, saya dapat melakukannya dengan baik. Saya tidak menjanjikan kopi saya ini sedap dan tempat yang selesa, tapi cukuplah sekadar ia mampu menghilangkan dahaga dan penat pelanggan seketika," katanya.

Dengan harga yang berpatutan, Naim berharap kopi jualannya akan menarik minat orang ramai selepas ini tidak menggira pangkat, darjat dan agama untuk sama-sama mencintai minuman berkenaan, sesuai dengan tagline yang digunakan iaitu 'Secangkir kopi di jalanan'.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!