Ukur baju di badan sendiri

Setiap individu perlu menilai kedudukan kewangan secara jujur dengan mengambil kira pendapatan, komitmen hutang, perbelanjaan asas dan kemampuan untuk menyimpan. Foto Canva
Setiap individu perlu menilai kedudukan kewangan secara jujur dengan mengambil kira pendapatan, komitmen hutang, perbelanjaan asas dan kemampuan untuk menyimpan. Foto Canva
A
A
A

“GAJI baru masuk, tetapi duit sudah hampir habis.” Ungkapan ini merupakan sesuatu yang biasa didengar dalam kalangan masyarakat.

Persoalannya, adakah keadaan ini berpunca daripada peningkatan kos sara hidup semata-mata atau sebenarnya terdapat kelemahan dalam cara kita menguruskan kewangan?

Tidak dinafikan bahawa kenaikan harga barangan, perumahan, pengangkutan dan perkhidmatan telah memberikan tekanan kepada kewangan isi rumah.

Namun, kita juga perlu berani melihat satu lagi aspek yang tidak kurang penting, iaitu sikap dan keputusan kita sendiri dalam berbelanja.

Peribahasa Melayu ukur baju di badan sendiri amat relevan dalam konteks ini. Setiap individu perlu menilai kedudukan kewangan secara jujur dengan mengambil kira pendapatan, komitmen hutang, perbelanjaan asas dan kemampuan untuk menyimpan.

Masalahnya, tidak semua perbelanjaan yang dianggap sebagai keperluan benar-benar merupakan keperluan.

Misalnya, langganan pelbagai platform hiburan digital mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara berasingan. Ia mungkin hanya melibatkan puluhan ringgit sebulan.

Namun, apabila digabungkan dengan perbelanjaan makan di luar, pembelian dalam talian dan pelbagai komitmen bulanan lain, jumlahnya boleh menjadi besar.

Begitu juga dengan perbelanjaan pendidikan anak-anak. Sudah tentu ibu bapa mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, penyertaan dalam pelbagai aktiviti tambahan seperti berenang, menari atau kelas kemahiran lain perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan keluarga.

Aktiviti tersebut sememangnya bermanfaat untuk perkembangan anak-anak. Bagaimanapun, jika kewangan keluarga terhad, pendidikan asas dan keperluan utama sewajarnya diberikan keutamaan. Tidak semua perkara yang baik perlu dilakukan secara serentak.

Selain itu, pengaruh persekitaran sosial turut memainkan peranan dalam membentuk keputusan kewangan.

Rakan sepejabat yang membeli kereta baharu, memiliki rumah lebih besar atau kerap bercuti ke luar negara secara tidak langsung boleh mewujudkan tekanan untuk melakukan perkara yang sama.

Dalam ekonomi tingkah laku, keadaan ini berkait rapat dengan konsep perbandingan sosial, iaitu apabila seseorang menilai kejayaan dan kesejahteraan dirinya berdasarkan pencapaian orang lain.

Akibatnya, keputusan membeli rumah atau kereta mungkin lebih dipengaruhi oleh keinginan mengekalkan status sosial berbanding kemampuan kewangan sebenar.

Lebih membimbangkan, kemudahan pembiayaan seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan Buy Now, Pay Later (BNPL) boleh menyebabkan seseorang merasakan dirinya mampu berbelanja, sedangkan hakikatnya hanya menangguhkan pembayaran ke masa hadapan.

Berdasarkan data terkini, jumlah pengguna aktif BNPL setakat separuh pertama tahun 2026 ialah 9.2 juta orang dengan nilai transaksi sebanyak RM14.7 bilion.

Nisbah pembiayaan tidak berbayar pula dilihat meningkat kepada 3.34 peratus berbanding 3.24 peratus pada hujung tahun 2025.

Kelayakan mendapatkan pembiayaan tidak semestinya bermaksud seseorang benar-benar mampu menanggung komitmen tersebut tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangannya.

Justeru, langkah pertama ialah melakukan penilaian kewangan secara menyeluruh. Bezakan antara keperluan dan kehendak, kenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan serta pastikan setiap komitmen baharu tidak mengorbankan simpanan kecemasan.

Pada masa yang sama, tanggungjawab memperkukuh kesejahteraan rakyat tidak boleh diletakkan kepada individu semata-mata. Peningkatan pendapatan sebenar, peluang pekerjaan berkualiti dan kos kehidupan yang berpatutan tetap memerlukan perhatian pembuat dasar.

Akhirnya, kehidupan yang sejahtera bukan diukur melalui kereta yang dipandu, rumah yang dimiliki atau gaya hidup yang dipamerkan.

Kekayaan sebenar bukanlah kemampuan membeli segala yang diingini, tetapi kebebasan menjalani kehidupan tanpa dibelenggu tekanan kewangan akibat keputusan sendiri.

Ukur baju di badan sendiri. Hidup mengikut kemampuan bukan tanda kegagalan, sebaliknya lambang kebijaksanaan.

*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!