RMK12: MRANTI fokus empat sasaran utama

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) menunjukkan laman sesawang MRANTI selepas Majlis Pertukaran Memorandum Platform E-Perkhidmatan MRANTI, Huawei Teknologi Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad di Menara Integra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) menunjukkan laman sesawang MRANTI selepas Majlis Pertukaran Memorandum Platform E-Perkhidmatan MRANTI, Huawei Teknologi Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad di Menara Integra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan memberi tumpuan kepada pencapaian empat sasaran utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, empat sasaran utama tersebut adalah 2.5 peratus Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 1.4 peratus sekarang.

Beliau memberitahu, selain itu, 500 bilangan produk dan penyelesaian dikomersialkan melalui Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).

“Ketiga, 70 peratus Perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan oleh sektor swasta (BERD) kepada GERD dan keempat menduduki kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengalaman Pelanggan Huawei di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Taman Teknologi Malaysia (TPM), Huawei Technologies Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad, yang menjalinkan usaha sama untuk membangunkan sebuah platform e-Perkhidmatan MRANTI.

Dr Adham menjelaskan, RM30 juta juga telah diperuntukkan dalam Bajet 2022 kepada MRANTI, melalui TPM, untuk dinaik taraf sebagai Hab Industri IR 4.0.

MRANTI yang merupakan penggabungan antara TPM dan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) berperanan untuk memacu pulangan idea yang lebih tinggi melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan berteraskan teknologi.

Mengulas mengenai MoU pada Selasa, Dr Adham berkata, ia akan manfaatkan negara menerusi empat pendekatan iaitu mewujudkan infrastruktur digital yang dinamik bertempat di TPM yang dapat merangsang usaha penyelidikan serta pembangunan penyelesaian berteraskan teknologi seiring dengan keperluan industri.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan kedua ialah membangunkan platform e-Perkhidmatan MRANTI bagi memudah cara penawaran dan permintaan harta intelek serta produk; perkhidmatan inovasi serta berteknologi dan yang lebih penting dapat memadankan penyelesaian dengan permintaan dunia.

Menurutnya, MoU itu juga akan menggalakkan penerapan dan penggunaan inovasi Kecerdasan Buatan (AI) serta Perisian sebagai perkhidmatan buatan tempatan untuk memperkasakan teknologi masa hadapan selain mewujudkan lebih ramai bakat berkemahiran dan berpengalaman tinggi melalui pertukaran pengetahuan dalam bidang teknologi.

MoU tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TPM Dzuleira Abu Bakar; Naib Presiden Huawei Malaysia Lim Chee Siong; dan Naib Presiden Eksekutif TM ONE, Shazurawati Abd Karim.

Melalui MoU berkenaan, TPM, Huawei Malaysia dan TM melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE, akan membantu syarikat pemula niaga tempatan untuk memacu pemasaran komersial dengan mengetengahkan kemahiran dan produk mereka bagi memenuhi sebarang permintaan di platform e-Perkhidmatan. - Bernama