X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Jambatan runtuh, penduduk redah sungai usung jenazah

Penduduk redah sungai usung jenazah di Kampung Sungai Rotan, Jelebu. - Foto FB Jalaluddin Alias
A
A

JELEBU - Penduduk di Kampung Sungai Rotan, di sini terpaksa mengusung jenazah dengan menyeberangi sungai selepas jambatan yang menghubungkan tanah perkuburan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebelum ini, jalan untuk ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan ini dihubungkan oleh dua buah jambatan.

"Bagaimanapun, pada bulan Mei tahun lalu, jambatan yang pertama telah runtuh selepas sebuah lori yang melebihi muatan melewatinya dan permohonan untuk membina semula jambatan itu telah dikemukakan kepada kerajaan Negeri Sembilan.

"Saya mendapat maklumat bahawa sudah ada kontraktor yang dilantik untuk membina semula jambatan itu, namun begitu, sehingga ke saat ini tidak ada sebarang kerja-kerja pembinaan yang dilakukan," katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Katanya, keadaan tidak terlalu mendesak ketika itu kerana terdapat satu lagi jambatan alternatif yang merentasi sungai untuk ke tanah perkuburan tersebut namun ia turut runtuh akibat bencana banjir tempoh hari.

"Saya amat berharap agar kerajaan negeri dapat menyegerakan pembinaan jambatan baharu supaya masalah serupa tidak dialami penduduk," katanya.

Jalaluddin berkata, pihaknya juga akan mengambil apa juga ikhtiar agar jambatan berkenaan segera dibina.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk kampung yang telah bekerjasama dan bertungkus lumus membantu menyempurnakan urusan pengebumian arwah.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JPKKP) Idzurizad Idris berkata, lebih 50 penduduk kampung bergotong-royong menguruskan jenazah yang juga merupakan penduduk Kampung Sungai Rotan.

Katanya, paling sukar apabila memastikan keranda yang membawa jenazah ketika mengharungi sungai dengan paras air mencecah paha.

"Hampir 30 penduduk berada di dalam sungai bagi membolehkan keranda dibawa ke seberang dengan tali turut dipasang sebagai langkah keselamatan.

"Alhamdulilah, semua urusan yang dilakukan selepas solat Isyak itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama penduduk," katanya.

Idzurizad melahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan hajat isteri arwah yang mahu dikebumikan di kampung halamannya sendiri.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!