[VIDEO] 'Saya sedia disiasat bila-bila masa'

Sidang media Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Sidang media Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bersedia untuk disiasat mana-mana pihak atau organisasi pada bila-bila masa.

Abu Zahar berkata, ia susulan kenyataan enam ahli LPPR yang menyifatkan kenyataan media beliau pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah pendapat peribadi beliau.

"Saya dukacita dengan kenyataan media dikeluarkan kesemua enam rakan anggota LPPR, yang ingin menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media 5 Januari itu, yang saya percaya adalah dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak dan masyarakat semata-mata kerana tidak dilaporkan dengan tepat dan menyeluruh oleh media.

"Kenyataan media yang dibuat oleh keenam-enam ahli tersebut amat dikesali," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, enam ahli LPPR menegaskan kenyataan Abu Zahar bahawa Azam tiada kaitan dengan dakwaan pemilikan saham dengan jumlah melampau dalam syarikat senaraian awam adalah pendapat peribadi beliau.

Enam ahli LPPR terbabit ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Mengulas lanjut, Abu Zahar menjelaskan, beliau terkejut apabila kesemua enam ahli LPPR itu mengadakan mesyuarat antara mereka tanpa memberitahu beliau terlebih dahulu dan telah mengeluarkan kenyataan media pada Sabtu lalu.

Ia kerana sebelum itu Abu Zahar telah mengatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup ahli LPPR pada jam 10 pagi, 11 Januari 2022 di Akademik SPRM, Jalan Duta Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persetujuan itu dibuat selepas beberapa ahli LPPR menyatakan bahawa lembaga itu perlu bermesyuarat ekoran isu membabitkan Azam semakin panas.

"Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyisat saya pada bila-bila masa.

"Sebagaimana yang telah saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat, yang bertujuan utamanya memerangi gejala Jenayah Rasuah dan Salah Guna Kuasa tanpa khuatir 'Without fear or favour'," katanya.