Atlet digugur boleh guna fasiliti MSN

JEFRI NGADIRIN
JEFRI NGADIRIN
A
A
A

ATLET digugurkan daripada program latihan kebangsaan baru-baru ini, masih berpeluang menggunakan fasiliti dan kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) ketika latihan berfasa selama enam minggu yang akan dilaksana dalam masa terdekat.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sedang mengadakan bengkel bersama persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk membincangkan tarikh sesuai melaksanakan latihan itu dan perancangan untuk menganjurkan beberapa kejohanan domestik bagi memberi atlet peluang melayakkan diri ke Sukan SEA.

“Kita akan menentukan perincian mengenai latihan berfasa dan kejohanan yang bakal dianjurkan dalam tempoh seminggu ini. Sekiranya atlet berjaya layak ke Sukan SEA, mereka akan diserap ke dalam program.

“Apabila mereka berjaya melepasi had kelayakan ke Sukan SEA, iaitu catatan pingat gangsa pada edisi terdahulu, mereka boleh terus mendapat akses kepada kemudahan yang disediakan selain layak menerima elaun,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, MSN juga akan menyediakan tempat tinggal, makanan dan kemudahan lain ketika latihan berfasa tersebut kepada semua atlet yang terlibat.

MSN sebelum ini menggugurkan 144 atlet kebangsaan, dan hanya mengekalkan 293 atlet (248 normal, 45 para) bagi tahun ini, selain mengurangkan elaun latihan.

Mengulas mengenai pengurangan elaun, beliau berkata ia bagi memastikan atlet terus berusaha untuk meningkatkan prestasi mereka dengan mencatatkan pencapaian lebih baik pada kejohanan akan datang, berbanding pencapaian terdahulu.

“Kita tidak boleh ikut sentimen, kena ikut prestasi semasa. Sekiranya pemenang pingat perak Sukan SEA menerima RM800 sekarang, mereka layak mendapat RM2,000 jika menang emas di Sukan SEA akan datang (Mei) dan seterusnya meningkat ke RM4,500 sekiranya menang emas Sukan Komanwel atau Asia,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut penyelarasan semula elaun, pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, pemenang pingat perak dan gangsa menerima RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.

Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa).

Imbuhan RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa). - Bernama