'Tempoh cukai jalan, insurans berbeza'

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff (tengah) menunjukkan dokumen tempoh cukai jalan dan insurans yang tidak selaras ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Taman Tunku Haminah, di sini, pada Ahad.
Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff (tengah) menunjukkan dokumen tempoh cukai jalan dan insurans yang tidak selaras ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Taman Tunku Haminah, di sini, pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) meminta penjelasan kerajaan berhubung isu tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan yang berbeza.

Setiausaha Cake, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, ia susulan pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengguna berhubung kekeliruan mengenai tempoh tidak selaras itu.

Mohd Yusrizal memberitahu, situasi berkenaan mula dikesan apabila terdapat pengguna tidak dapat memperbaharui cukai jalan tamat tempoh akibat Covid-19 dan penangguhan tempoh pembaharuan cukai jalan tahun lepas.

"Bagaimanapun, ada pengguna memaklumkan mereka terkejut apabila mendapati tempoh cukai jalan dan insurans tidak selaras apabila ada pengguna memperbaharuinya semula beberapa bulan kemudian di pejabat pos.

''Antaranya, ada pengguna membuat pembaharuan semula pada 2 Januari 2022 selepas cukai jalan dan insurans kenderaan tamat pada 23 Ogos lepas, namun berasa keliru apabila tarikh luput kedua-duanya berbeza," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, disebabkan itu, ada pengguna mendakwa terpaksa memperbaharui cukai bulan setiap bulan mengikut tempoh tertentu bagi menyelaraskan tempoh cukai jalan dengan insurans kenderaan mereka.

Bagaimanapun, katanya, situasi tempoh tidak selaras antara cukai jalan dan insurans berkenaan bukan sahaja boleh menimbulkan kerisauan kepada mereka, malah dikhuatiri meningkatkan perbelanjaan dikeluarkan pengguna.

Tambah beliau, pengguna juga bimbang sekiranya masalah tempoh luput berbeza berkenaan berlanjutan, ia boleh merumitkan urusan pembaharuan cukai jalan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan dapat meneliti perkara itu, sekali gus mengambil tindakan bagi menyelesaikan kebimbangan sebilangan pengguna terlibat.