Tiada niat kelirukan sesiapa: Saito University College

Kenyataan Saito University College kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kenyataan Saito University College kepada Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Saito University College memaklumkan bahawa terdapat kekeliruan di dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh ejen mereka berkenaan Program Dermasiswa Pendidikan Prihatin baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Pembangunan Perniagaan dan Pendidikan Teknikalnya, Hoh Wing Onn berkata, kesilapan itu tidak disengajakan dan pihaknya tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa.

“Saito University College yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1988 sebenarnya menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak untuk mengikuti jurusan kami tawarkan. Ini tidak melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kesemua jurusan melainkan logistik sudah mendapat pengiktirafan penuh MQA dan JPA sementara jurusan logistik sudah menerima akreditasi sementara daripada MQA.

“Kesemua jurusan yang mendapat akreditasi penuh MQA diiktiraf oleh JPA,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Rabu, Sinar Harian menerusi sebuah artikel melaporkan bahawa Program Dermasiswa Pendidikan Prihatin bagi program asasi diploma dan ijazah bidang perdagangan, logistik, maritim serta penguatkuasaan seperti disebarkan menerusi SMS adalah palsu.

Perkara itu disahkan palsu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Twitter.

Mengulas lanjut, Wing Onn berkata, mereka menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Artikel Berkaitan:

“Biasiswa yang kami tawarkan adalah sah dan kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dari maklumat yang diedarkan di dalam mesej kami,” jelas kenyataan itu.