Tengku Puteri Iman Afzan hadir program GREAT

Tengku Puteri Iman Afzan - Foto Bernama
Tengku Puteri Iman Afzan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir ke program latihan advokasi The Green Ribbon Effective Agent Training (GREAT) di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini pada Ahad.

Projek GREAT merupakan program dua hari bermula semalam bertujuan membimbing peserta terdiri daripada penuntut universiti tentang cara dan langkah dalam memberi bantuan awal kepada individu yang mengalami tekanan mental.

Tengku Puteri Iman Afzan meluangkan masa lebih sejam pada sesi pembentangan oleh 30 peserta program terdiri daripada penuntut Universiti Malaya selain menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka.

Pengasas perusahaan sosial Green Ribbon Group itu, turut meluangkan masa beramah mesra dengan peserta dan bertukar pandangan berkenaan isu kesihatan mental.

Tengku Puteri Iman Afzan sebelum ini dilantik sebagai Perwakilan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Pengarah projek GREAT Syahida Zulkarnain berkata, peserta program dilatih untuk menyumbang idea dan cadangan dalam memberi kesedaran kepada komuniti tentang kesihatan mental.

"Peserta juga diberi latihan dan pendedahan berkenaan cara memberi sokongan kepada individu yang mengalami tekanan dan diharap dapat menjadi duta bagi memberi advokasi berkenaan isu ini kepada komuniti di kampus masing-masing," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: