Banjir: Panggilan kecemasan kes ular, haiwan berbisa meningkat

Antara kes tangkapan ular melibatkan kawasan perumahan sejak 17 Disember lalu.
Antara kes tangkapan ular melibatkan kawasan perumahan sejak 17 Disember lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Panggilan kecemasan berkaitan ular dan binatang berbisa di Selangor meningkat sebanyak 30 peratus antara 17 Disember 2021 hingga 7 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebanyak 534 panggilan membabitkan reptilia tersebut ditemui dalam kawasan rumah.

Beliau tidak menolak peningkatan kes itu disebabkan kejadian banjir yang melanda beberapa daerah di Selangor pada 18 Disember lalu selain faktor perubahan musim.

"Aduan diterima di pelbagai kawasan, ada disebabkan banjir yang melanda kawasan rumah dan ada juga yang tidak melibatkan kawasan banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Atas faktor keselamatan, beliau menasihatkan penduduk di lokasi terjejas banjir untuk mengelakkan diri berada di kawasan bahan sisa buangan.

"Ini kerana dikhuatiri binatang tersebut berada di bawah timbunan sampah disebabkan suhu yang sejuk dan lembap.

"Jika terjumpa haiwan berbisa elakkan untuk ambil tindakan sendiri dan jarakkan diri dengan binatang berbisa berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan: