PGA tahan dua individu, rampas pil yaba

Pil yaba yang dirampas oleh Batalion 7 PGA Kuantan dalam serbuan berasingan di Kampung Bagus, Rantau Panjang pada Sabtu.
Pil yaba yang dirampas oleh Batalion 7 PGA Kuantan dalam serbuan berasingan di Kampung Bagus, Rantau Panjang pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menahan seorang wanita Thailand dan lelaki warga tempatan serta merampas 109 biji pil yaba dalam serbuan berasingan di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan pertama di Kampung Bagus di sini, pada jam 10.15 malam pihaknya berjaya menahan seorang wanita warga Thailand dan merampas 87 biji pil yaba.

"Selain itu, kita turut merampas 3.02 gram dadah jenis syabu selepas melakukan pemeriksaan ke atas rumah berkenaan.

"Nilai rampasan keseluruhan termasuk sehelai baju dianggarkan berjumlah RM1,220," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut beliau, kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di Kampung Bagus, PGA merampas 22 biji pil yaba dan heroin seberat 0.07 gram selepas menahan seorang lelaki ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 9.30 malam.

Azhari berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek membawa kepada penemuan dadah tersebut.

"Saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek berusia 44 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yaba adalah sejenis pil perangsang berwarna merah dengan cetakan WY yang diperbuat daripada gabungan methamphetamine dan kafein.