Hasrat diurut wanita Thailand terbantut

Antara wanita warga Thailand yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Antara wanita warga Thailand yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hasrat seorang pengunjung untuk mendapatkan khidmat urutan manja wanita warga Thailand terbantut selepas premis di Sri Hartamas itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu hanya mampu terkedu selepas kehadirannya kira-kira jam 8.30 malam itu disergah pegawai operasi.

Lelaki yang enggan dikenali itu telah ditanya pegawai operasi berkenaan tujuan kehadirannya, namun mendakwa dia baru pertama kali hadir di premis terbabit.

"Saya baru masuk sahaja dan cuma singgah untuk urut kaki. Itu sahaja.

"Saya cuma singgah ke sini sementara tunggu kawan yang ada di restoran berdekatan," katanya dalam nada terketar-ketar selepas direkod keterangan di lokasi serbuan.

Selain itu, beberapa pelanggan lelaki tempatan dan warga asing turut ditahan untuk proses dokumentasi.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, empat buah premis urut di sekitar Sri Hartamas, Kuala Lumpur telah diserbu pihaknya hasil maklumat dan risikan.

"Seramai 12 wanita warga Thailand berusia 24 hingga 44 tahun telah ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati wanita warga asing ini disyaki adalah tukang urut di premis terbabit dan kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.