X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

‘Sudah dua bulan sukar dapat minyak masak peket’

Rak yang menempatkan stok minyak masak paket bersubsidi di sebuah kedai runcit di Seksyen 30, di sini, kosong setelah terputus bekalan sejak dua bulan lalu. Gambar kecil dari kiri: Imam, Fazilah, Mohd Fauzi
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Peruncit dan pengguna minyak masak paket bersubsidi dibelenggu keresahan apabila bekalan barangan tersebut semakin sukar didapati di pasaran sejak dua bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian di kedai runcit di Seksyen 30 di sini mendapati rak yang menempatkan minyak peket bersubsidi kelihatan kosong sejak beberapa hari lalu.

Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30, Shah Alam, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, premisnya mula terputus bekalan minyak masak paket sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini pembekal sering menghantar bekalan sekitar 50 kotak minyak masak paket bersubsidi setiap minggu, namun sehingga kini pihaknya tidak lagi menerima stok barangan tersebut.

“Bila saya tanya kepada pembekal berkenaan kekurangan bekalan minyak paket ini, mereka kata kilang tidak mempunyai stok, sudah dua hingga tiga bulan saya tidak mendapat sebarang bekalan minyak masak bersubsidi itu.

“Harga minyak masak peket ini tidak naik, tapi sangat susah nak dapat sekarang. Masalah ini sudah lama berlaku, tapi kerajaan tak ambil sebarang tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, seorang penjaja, Mohd Fauzi Aziz, 34, berkata stok bekalan minyak masak paket bersubsidi sukar diperoleh sejak sebulan lalu.

Dia yang menjual nasi kukus ayam berempah di Seksyen 30, di sini terpaksa mencari dua hingga ke tiga kedai runcit untuk mendapatkan bekalan minyak masak tersebut.

“Dulu memang senang nak dapat bekalan minyak masak paket bersubsidi ini di kedai runcit, tetapi sejak sebulan ini ia makin kurang, sama juga seperti di pasar raya.

“Saya terpaksa mencari di beberapa kedai, tapi ikut nasiblah. Kadangkala dapat, ada masa terpaksa berebut kerana stok tidak cukup dan terhad,” katanya yang berniaga sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Imam Bonjol, 26 berkata, dia terpaksa menggunakan minyak masak botol kerana sukar untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi untuk berniaga.

Ujarnya, keputusan tersebut terpaksa dibuat setelah dia terpaksa mencari sehingga ke enam buah kedai runcit di sekitar Seksyen 30 walaupun mengetahui harganya minyak masak botol lebih mahal berbanding minyak masak paket bersubsidi.

“Kekurangan stok minyak masak paket bersubsidi ini memaksa saya untuk menggunakan minyak masak botol sekali gus turut mengganggu kos perniagaan saya.

“Saya guna 13 bungkus minyak masak paket bersubsidi dalam masa sehari, jadi kalau terdesak, saya terpaksa mencari stok barangan tersebut hingga ke enam buah kedai runcit itu pun kalau ada bekalan,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!