Malaysia-Singapura buat penilaian risiko penjualan tiket VTL udara

Ka Siong (tiga dari kanan) dan Hasni (tiga dari kiri) bergambar bersama kenamaan pada Majlis Meraikan Pencapaian PTP 2021 di Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Ka Siong (tiga dari kanan) dan Hasni (tiga dari kiri) bergambar bersama kenamaan pada Majlis Meraikan Pencapaian PTP 2021 di Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada Jumaat.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Malaysia dan Singapura akan melakukan penilaian risiko bagi memuktamadkan keputusan penjualan tiket menerusi laluan udara bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu untuk memutuskan sama ada persetujuan penjualan tiket VTL udara yang dikurangkan kepada 50 peratus boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

Menurutnya, usaha berkenaan juga bagi melihat semula keadaan semasa berdasarkan kesediaan kedua-dua negara dalam menangani penularan varian Omicron.

“Mulai 21 Januari ini, jika ikut perbincangan asal kita telah bersetuju untuk membenarkan 50 peratus daripada kapasiti asal (1,440 pemohon) menggunakan VTL, cuma berikutan Omicron ini, mereka (Singapura) buat semula keputusan untuk tangguhkan lagi program agar tidak menambah permohonan baharu.

“Bagaimanapun, dalam beberapa minggu ini kita akan buat penilaian lagi kalau kedua-dua pihak bersetuju 50 peratus permohonan (VTL) boleh dijual, kita akan laksanakan, ia juga adalah sebaliknya jika tiada persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Meraikan Pencapaian PTP 2021 di Tanjung Pelepas, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Sebelum ini, media melaporkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura digantung sementara sehingga 20 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

Ka Siong berkata, dalam perbincangan sebelum ini, Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan awal menyambung semula inisiatif ini dengan jumlah jualan tiket penerbangan dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut juga tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan menilai situasi semasa Covid-19 di republik itu terutama terhadap perkembangan varian Omicron atau varian baharu lain.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, berdasarkan rekod sejak dilancarkan pada 29 November lalu, seramai 37,783 individu telah menerima manfaat daripada inisiatif itu sama ada bagi tujuan keluar atau masuk melalui laluan udara.

END