Pembalakan tidak boleh dianggap punca utama banjir

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Aktiviti pembalakan tidak boleh dianggap sebagai punca utama banjir melanda negara memandangkan terdapat faktor lain yang boleh mengakibatkan berlakunya bencana tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan menjadi tidak tepat apabila timbul pelbagai persepsi yang disebar di laman sosial sedangkan aktiviti pembalakan negara dikawal ketat termasuk mengikut garis panduan antarabangsa di bawah Protokol Geneva 1925 dan Deklarasi Rio.

Belia berpendapat, tiada aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan berlakunya banjir besar di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Selangor tebang kayu di mana, Wilayah Persekutuan ada hutan di mana. Jadi tuduhan banjir berpunca daripada pembalakan sebenarnya bukan 100 peratus betul.

"Sama di Kedah semua banjir orang tuduh balak, macam berlaku di Titi Hayun, Yan, satu negara tuduh ada pembalakan di Gunung Jerai," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Permodalan Kedah Berhad (PKB), Hayun Land Sdn Bhd, MHC Trading dan Kedah Agro Holding Berhad di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan fakta dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), limpahan air serta pokok dan batu besar hanyut berlaku disebabkan hujan selama enam jam yang menyamai hujan selama satu setengah bulan.

Jelasnya, keadaan sama berlaku di Selangor apabila hujan begitu banyak dalam masa singkat sehingga menyebabkan banjir dan bukan semua berkaitan banjir disebabkan balak.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, fakta sebenar mengenai aktiviti pembalakan perlu dirujuk kepada pihak yang mempunyai kuasa berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, pandangan awam dan pencinta alam berhubung isu pembalakan perlu dijelaskan bagi memastikan salah faham berkenaan tidak berlanjutan.

Katanya, ada kayu yang sangkut di sungai lalu naik ke rumah orang juga didakwa kayu balak sedangkan ia hanya pokok biasa sahaja.