Tiada desas-desus rombakan kabinet: Hishammuddin

Hishammuddin (tengah) ketika menghadiri taklimat sempena Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, Kuala Nerus pada Khamis.
Hishammuddin (tengah) ketika menghadiri taklimat sempena Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, Kuala Nerus pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan desas-desus berlaku rombakan kabinet yang dikatakan bertiup kencang ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan yang akan berlaku terhadap pucuk pimpinan negara.

"Setahu saya, secara peribadi tiada (rombakan), tetapi saya nak tekankan bahawa hak untuk menentukan perubahan kabinet bukan hak saya, itu hak Perdana Menteri.

"Disebabkan bukan hak saya, maka tidak perlu untuk saya memikirkannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Desas-desus rombakan kabinet bertiup kencang dilaporkan akhbar sejak Selasa lalu.

Terdapat dakwaan mengatakan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka melakukan rombakan kabinet serta melantik Timbalan Perdana Menteri minggu depan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengakui tiada rombakan kabinet setakat ini kerana tumpuan kerajaan berkisar kepada isu lebih besar iaitu bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara itu, orang ramai boleh menganggap berita berkenaan sebagai spekulasi.