Tiada saksi hadir, prosiding 1MDB ditangguh

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding kes menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan selepas tiada saksi hadir pada Khamis.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan tiada saksi berkelapangan untuk hadir dalam masa yang singkat.

Justeru itu, beliau memohon agar perbicaraan kes itu dilapangkan dan disambung pada tarikh lain.

“Saya mohon maaf kepada mahkamah, tiada saksi dapat hadir hari ini kerana kebanyakannya sudah memulakan kerja dan mempunyai urusan lain.

“Mereka juga tidak dapat mengubah jadual tugas dalam masa yang singkat,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Akram berkata, mengikut jadual, perbicaraan akan disambung semula pada 26 dan 27 Januari ini.

Ahmad Akram: Pada tarikh itu, kita bersedia dengan empat saksi iaitu saksi ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir; saksi ke-13, bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail.

Hakim Collin: Terima kasih atas usaha anda.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Akram: Kalau ada apa-apa yang berlaku, kita ada senarai ‘backup’, kejadian seperti hari ini tidak akan berlaku lagi, kami mohon maaf Yang Arif.

Hakim Collin: Jadi kita tiada pilihan lain untuk melapangkan prosiding hari ini dan ia akan diteruskan pada 26 Januari.

Pada pagi Khamis, mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan supaya bersedia dengan beberapa saksi lain untuk prosiding sesi petang.

Ia selepas Azmi yang sepatutnya hadir untuk disoal balas, tidak dapat meneruskan prosiding kerana demam.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Prosiding bersambung 26 Januari.