Penduduk Pulau Tiga hantar memorandum pertahan kediaman

Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga memegang memorandum untuk dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Khamis.
Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga memegang memorandum untuk dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Jalan Lencongan Darat, Sungai Petani menyerahkan memorandum kepada Pejabat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di sini pada Khamis.

Ia bagi memohon bantuan mempertahankan hak apabila penduduk bakal kehilangan tempat tinggal selepas diarah mengosongkan rumah masing-masing melalui satu notis arahan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Penduduk, Salleh Shaari, 85, berkata, memorandum berkenaan dihantar bagi memohon supaya mereka tidak dihalau keluar dari Kampung Baru Sungai Tiga seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 19 Disember lepas.

Salleh berkata, dia telah tinggal di kampung berkenaan sejak hampir 40 tahun dan akan kehilangan tempat tinggal sekiranya tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Kami merayu agar tidak perlu mengosongkan rumah yang telah lama didiami ini dan berharap diberi penempatan baharu serta wang pampasan daripada pihak berkenaan jika masih perlu keluar.

"Perkara ini dimohon dipertimbangkan memandangkan kebanyakan penduduk tiada pendapatan tetap dan hanya bekerja sendiri bagi menampung kehidupan keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nazir Chik, 42, berkata, seramai 30 keluarga yang mendiami tanah berkenaan sejak sekian lama bakal kehilangan tempat berteduh sekiranya masalah ini berterusan.

Mohd Nazir yang bekerja sendiri memohon pembelaan supaya mereka diberikan penempatan baharu selepas tarikh pengosongan yang dilanjutkan kepada dua minggu dari tarikh notis pada 3 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kami menghantar memorandum ini sebagai harapan terakhir penduduk Kampung Baru Pulau Tiga supaya sekurang-kurangnya masalah penduduk diberi perhatian, sekali gus menerima pampasan," katanya.

Menurut Marzura Mohammed, 50, mereka telah menghantar surat kepada pelbagai pihak termasuklah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 21 Disember lepas bagi meminta bantuan mempertahankan hak penduduk.

Katanya, dia yang telah mendiami kawasan berkenaan lebih kurang 15 tahun hanya mencari rezeki dengan berniaga ikan pekasam selain tidak memiliki pendapatan tetap.

"Sekarang saya telah beberapa hari tidak dapat berniaga selepas menerima notis untuk mengosongkan kawasan pada Isnin sebelum diberi masa selama dua minggu lagi," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Hashim akan berusaha mendapatkan lokasi tanah kerajaan bersesuaian bagi membantu penduduk Kampung Baru Pulau Tiga.

Ia selepas satu notis dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi supaya penduduk yang tinggal di kawasan terbabit diarahkan berpindah pada 3 Januari 2022.