Anugerah Grammy ditangguh, kes Omicron meningkat di AS

Anugerah Grammy ke-64 ditangguh susulan kes membabitkan varian Omicron terus meningkat di Amerika.
Anugerah Grammy ke-64 ditangguh susulan kes membabitkan varian Omicron terus meningkat di Amerika.
A
A
A

WASHINGTON - Akademi Rakaman dan CBS mengumumkan penangguhan anugerah Grammy ke-64 pada Rabu berikutan kes membabitkan varian Omicron terus meningkat di Amerika Syarikat.

Keputusan itu dibuat "selepas pertimbangan dan penelitian melibatkan pegawai perbandaran dan negeri, pakar kesihatan dan keselamatan, komuniti artis dan rakan kongsi kami," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan bersama Akademi Rakaman dan CBS.

"Kesihatan dan keselamatan mereka dalam industri muzik, penonton, serta ratusan kru yang bekerja tanpa lelah untuk menjayakan setiap persembahan kami tetap menjadi keutamaan," kata kenyataan itu.

"Memandangkan ketidakpastian akibat varian Omicron, meneruskan acara pada 31 Januari hanya mengundang banyak risiko.

“Kami menanti untuk meraikan Malam Berprestij Muzik pada tarikh yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Anugerah Grammy tahun lalu telah ditangguhkan dari Januari kepada Mac ketika kebimbangan Covid-19 melanda, dan hanya dihadiri mereka yang tercalon dengan jumlah penonton yang terhad.

Organisasi dan institusi di seluruh negara terus mengubah rancangan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Syarikat-syarikat di seluruh negara telah menangguhkan pekerja kembali ke pejabat, dan sekolah di kawasan ‘hot spot’ telah kembali kepada sesi pembelajaran secara maya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, AS merekodkan satu juta kes Covid-19 sehari, memecah rekod global, menurut data yang dikumpul Universiti Johns Hopkins. - Bernama