Perkasa KRT bantu kerajaan urus bencana

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kementerian Perpaduan Negara akan memperkasakan semula peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam membantu kerajaan menguruskan bencana di peringkat komuniti supaya lebih lancar pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, KRT mampu memainkan peranan besar kerana lebih dekat dengan masyarakat selain memahami selok-belok satu-satu kawasan.

"Sebagai contoh di Selangor dan Pahang, KRT memberikan sumbangan yang cukup besar dengan menjadi sukarelawan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Berdasarkan rekod, kita mempunyai 8,000 KRT di seluruh negara yang aktif setakat ini. Saya lihat mereka (KRT) mampu menjadi barisan hadapan dengan menyampaikan maklumat sekiranya berlaku satu-satu bencana di kawasan mereka," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Serongga di sini pada Rabu.

Beliau sehubungan itu berkata, kementerian mahu KRT terus memainkan peranan sebagai salah satu barisan hadapan negara di masa akan datang.

"Selain itu, KRT juga mampu bertindak sebagai ejen perpaduan dalam kalangan masyarakat," ujar beliau.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, penyatuan kukuh dalam masyarakat amat diperlukan bagi memastikan dasar Keluarga Malaysia mampu diadaptasi dengan sempurna.

"Sumbangan KRT sebenarnya amat besar. Menjadi satu kerugian jika kelebihan yang ada ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan: