JSJK tahan dalang sindiket pelaburan

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya menumpaskan kes penipuan Pelaburan Forex GCGAsia melalui serbuan di beberapa negeri Sabtu lalu dan menahan seorang individu yang dikatakan dalang utama sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor itu turut menahan sembilan individu lain warga tempatan berumur lingkungan 29

hingga 64 tahun.

Menurut beliau, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita disyaki berperanan sebagai broker, ejen pencari pelabur, pengurus kewangan dan pemilik akaun.

"Sindiket ini menyasarkan majoriti warga tempatan sebagai mangsa dengan mempromosikan pelaburan berasaskan Forex kadar pulangan secara mingguan di antara 12 hingga 14 peratus dari jumlah modal yang dilaburkan," katanya.

"Pelabur akan diberi pautan laman web pelaburan bersama dengan kata laluan, mereka akan dapat melihat jumlah keuntungan yang diterima setelah mendaftar masuk ke laman web tersebut tetapi keuntungan tersebut tidak dapat dipindahkan atau ditunaikan," katanya dalam sidang akhbar di Aras 36, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sindiket pelaburan itu akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan pelabur setelah mendapat jumlah pelaburan yang besar dan memberhentikan operasi skim pelaburan secara tiba-tiba.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 3,195 kes penipuan Pelaburan Forex GCGAsia melibatkan kerugian berjumlah RM245,055,388.81 dilaporkan tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin Md Din memberitahu, JSJK turut menyiasat sebanyak 1,671 kes penipuan pelaburan melibatkan kerugian berjumlah RM183,754,676.46 pada tahun 2020 dan seramai 906 individu ditahan.

"Tahun lalu pula polis menahan 1,833 individu atas kesalahan itu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan mula beroperasi sekitar tahun 2018.

Tambah beliau, pelabur dimaklumkan bahawa wang pelaburan mereka akan dilaburkan oleh syarikat GCG Asia ke dalam pelbagai medium untuk menjana keuntungan yang besar.

"Sehingga kini, sejumlah 23 kes sedang disiasat berkait penipuan pelaburan Forex GCG Asia melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,941,412.94," katanya.