MAFI bantu Wira Agro terkesan banjir bangkit semula

MAFI
MAFI
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan beberapa peruntukan termasuk Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta kepada Wira Agro yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Menteri 1 MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, terdapat juga peruntukan pembangunan semula projek agro makanan (PPSPA) berjumlah RM80 juta selain Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM12 juta bagi membantu mereka yang terkesan.

Menurutnya, peruntukan itu dapat memberi nafas baharu kepada penternak, peladang dan usahawan tanaman padi.

"Setakat ini hampir 5,000 bakul makanan disalurkan kepada Wira Agro di beberapa negeri sekali gus dan diyakini mampu memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terjamin dan kelangsungan perusahaan Wira Agro terbela.

"Kita tahu ini merupakan ujian yang dihadapi petani dan penternak dan kerajaan berusaha membantu supaya golongan itu bangkit semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan dan set selimut kepada keluarga Agro yang terlibat banjir di Kampung Gadek, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima sehingga kini, lebih 5,500 pengusaha subsektor agro makanan termasuk tanaman, perikanan, akuakultur, penternakan dan sebagainya terjejas banjir dengan anggaran kerugian kira-kira RM67.72 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada jumlah itu RM2.83 juta membabitkan seramai 275 Wira Agro termasuk di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

"MAFI melalui pelbagai Jabatan dan agensinya masih melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenar yang dialami oleh golongan sasar yang terkesan dan jumlahnya dijangka terus meningkat," katanya. Ends