Sabah pertimbang wujud bangunan khas PPS untuk mangsa banjir

Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan dan bakul makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.
Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan dan bakul makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan bangunan khas pusat pemindahan sementara (PPS) bagi daerah yang sering dilanda banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dipertimbangkan berikutan lokasi pemindahan tidak mencukupi untuk mangsa.

"Kita juga mahu agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melihat faktor yang boleh mengurangkan kesan berlaku di Sabah.

"Sungai yang sempit perlu dibersihkan dan dibesarkan. Ia mesti dilakukan atau dirancang dari sekarang supaya pada masa akan datang impak itu tidak terkesan dan dapat mengurangkan masalah banjir yang melanda kampung berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Pentas Utama Padang Kota Marudu, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan bahawa perlunya diwujudkan bangunan PPS bagi mangsa banjir di kawasan yang sering dilanda banjir di Sabah.

Untuk rekod, tempat pemindahan bagi mangsa banjir ketika ini adalah membabitkan dewan serbaguna atau sekolah di mana ada PPS tidak mampu menampung mangsa banjir yang meningkat dan menyebabkan lebih banyak PPS terpaksa dibuka.

Sementara itu, diminta mengulas status projek tebatan banjir di negeri ini, Hajiji menjelaskan bahawa ia adalah satu rancangan yang memerlukan kajian dengan teliti.

"Ini satu rancangan yang memerlukan kajian yang bukan saja besar peruntukannya tetapi juga perkara yang perlu difikirkan oleh jabatan berkenaan adalah untuk jangka masa panjang dalam usaha mengurangkan kesan banjir.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, mengulas berhubung kerosakan yang dialami berikutan bencana banjir di kawasan yang terjejas, Hajiji berkata, pegawai daerah diminta membuat penilaian terhadap kerosakan yang dihadapi.

"Kita minta Pegawai Daerah membuat penilaian membabitkan kesemua kerosakan. Kerajaan akan bantu mereka yang mengalami kerosakan rumah selepas menerima laporan," katanya.