Sila log masuk terlebih dahulu.

Maloney calon terbaik latih Harimau Malaya

Maloney antara jurulatih asing yang sudah sebati dengan bola sepak Malaysia.
Maloney antara jurulatih asing yang sudah sebati dengan bola sepak Malaysia.
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney dianggap calon terbaik bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpandangan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini tidak mempunyai banyak masa selain daripada melantik Maloney yang dilihat sudah biasa dengan sistem kejurulatihan skuad negara.

Serbegeth Singh
Serbegeth Singh

Menurut Serbegeth, jurulatih kelahiran Australia itu juga sudah membuktikan kemampuannya ketika mengendalikan skuad muda negara apabila mara secara merit ke pentas Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun ini.

“FAM ketika ini sudah kesuntukan masa untuk lantik ketua jurulatih baharu pasukan senior negara kerana kita ada kurang daripada enam bulan sebelum beraksi pada Kelayakan Piala Asia 2023.

“Jadi pada pendapat saya, janganlah FAM ambil jurulatih daripada luar sistem mereka. Bagi saya, calon yang terbaik dan sudah mempunyai satu pasukan sendiri ketika ini adalah Brad Maloney.

“Malah, performance Brad bersama skuad B-23 juga sudah terbukti apabila beliau berjaya bawa pemain-pemain muda beraksi secara merit pada Piala Asia B-23 tahun ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu, Maloney antara nama yang disebut-sebut sebagai individu yang bakal mengisi ‘kerusi panas’ yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe selain pengendali KL City FC, Bojan Hodak.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Maloney merupakan bekas ketua jurulatih skuad B-19 selepas menggantikan tempat Bojan yang tidak dilanjutkan kontraknya dan beliau juga pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dalam skuad B-23 negara.

Dalam pada itu, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berpendapat, sekiranya Maloney dilantik mengemudi Harimau Malaya, ia akan memberi kesan jangka masa panjang kepada skuad kebangsaan.

Beliau memberitahu, perkara tersebut sudah dibuktikan beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Thailand yang berani meletakkan ketua jurulatih mereka mengemudi pasukan muda yang dilihat akan membantu perkembangan bakat mereka.

“Saya rasa apabila Brad dilantik sebagai ketua jurulatih baharu, kita akan dapat lihat kesan jangka panjang sama seperti yang kita lihat pada Vietnam sejak dibimbing Park Han Seo dan Thailand bawah bimbingan Kiatisuk Senamuang.

“Kita mesti kena ada kesinambungan antara pasukan senior dan pasukan muda negara kerana pasukan muda ini akan jadi teras untuk pasukan negara pada masa depan.

“Sekarang ini kita kena fikir solusi jangka masa panjang. Saya yakin kalau perkara ini jadi kenyataan, tak mustahil lagi dua atau tiga tahun, Harimau Malaya akan kembali kuasai Asia Tenggara,” ujarnya.