[VIDEO] 'Kapal hantu' ditunda ke lokasi selamat

Kapal hantu (kiri) yang hanyut sehingga memasuki perairan negara berjaya ditunda ke lokasi lebih selamat pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Kapal hantu (kiri) yang hanyut sehingga memasuki perairan negara berjaya ditunda ke lokasi lebih selamat pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah 'kapal hantu' bersaiz 72 meter panjang dan seberat 2,588 tan yang berisiko menghentam pelantar minyak Petronas ditunda ke lokasi lebih selamat pada Selasa.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal Winposh Rampart tanpa kru itu dikesan setelah pihaknya menerima laporan daripada syarikat perkapalan Indonesia berhubung insiden terputus tali.

Katanya, insiden itu berlaku ketika kapal Limin Rosmina, milik syarikat berkenaan sedang menunda kapal Winposh Rampart dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China pada Isnin.

"Kejadian berlaku sekitar jam 3.15 petang, di mana kedua-dua kapal terbabit berada di dalam perairan Vietnam dan telah terputus tali tunda berikutan cuaca buruk lalu hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.

"Kapal ini dikesan pada kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Penilaian risiko mendapati sekiranya tiada bantuan awal diberikan, kapal Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan akan menyebabkan pelantar minyak meletup serta mengakibatkan kemalangan jiwa," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu katanya, Maritim Malaysia telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal Winposh Rampart ke lokasi lebih selamat.

Beliau berkata, Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia bersama pesawat AW139 digerakkan bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelak kapal berkenaan daripada terus hanyut dan berisiko melanggar pelantar minyak.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak dua aset digerakkan iaitu Kapal Maritim (KM) Jujur dan Pesawat AW139 bersama enam anggota PTK ke lokasi tersebut untuk memberi bantuan.

"Petronas turut menghantar kapal Icon Lotus dan SK Pilot pada kira-kira jam 10 pagi tadi bagi memantau serta membantu operasi," katanya.