Segerakan agihan wang ihsan: PM

Ismail Sabri (tengah) menyampaikan wang ihsan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Tandong, Segamat pada Selasa.
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan wang ihsan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Tandong, Segamat pada Selasa.
A
A
A

SEGAMAT- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir seluruh negara disegerakan.

Jelasnya, langkah itu bagi membolehkan mangsa banjir dapat menggunakan wang berkenaan untuk membeli keperluan mereka dengan segera.

"Saya sudah beri arahan supaya wang ihsan mesti disegerakan. Jika boleh ia perlu diselesaikan sebelum mangsa pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sebelum ini agihan wang ihsan ambil masa antara tiga hingga enam bulan, namun sekarang ia perlu dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau PPS Balai Raya Kampung Tandong di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Ismail Sabri turut menyampaikan wang ihsan sebanyak RM1,500 yang mana RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM500 negeri kepada 26 ketua keluarga yang ditempatkan di PPS tersebut.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Sarwan Mohd Nor, 58, berkata, dia sudah tiga hari berlindung di PPS Balai Raya Kampung Tandong selepas rumahnya dinaiki air hampir satu meter.

Artikel Berkaitan:

Katanya, banjir kali ini merupakan yang terburuk pernah berlaku selepas kali terakhir bencana itu berlaku pada tahun 2016.

"Air naik begitu cepat pada sebelah petang, pada mulanya saya ingatkan banjir biasa sahaja rupanya bertukar menjadi semakin buruk pada sebelah malam sehingga laluan keluar masuk menuju ke rumah tidak boleh dilalui.

"Saya bersama isteri dibawa oleh anggota penyelamat menaiki bot ke PPS dan saya turut diberitahu keadaan air masih belum surut walaupun sudah tiga hari banjir berlaku," katanya.

Sarwan dan Muslim
Sarwan dan Muslim

Sarwan berkata, bantuan wang ehsan diterimanya itu akan digunakan untuk membeli barangan rumah dan perkakas elektrik yang rosak akibat banjir.

"Syukur pada hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang ke PPS Balai Raya Kampung Tandong untuk melihat keadaan mangsa banjir di sini. Bantuan wang ihsan ini dapat meringankan beban kami," ujarnya.

Sementera itu, seorang lagi mangsa banjir, Muslim Surib, 58, berharap air segera surut memandangkan dia dan isterinya sudah lima hari berlindung di PPS Balai Raya Kampung Tandong.

"Rumah kami dinaiki air sejak Jumaat lalu. Air naik begitu cepat pada sebelah malam menyebabkan saya tak sempat untuk selamatkan barang-barang di dalam rumah.

"Bimbang keadaan menjadi semakin teruk, kami segera ke sini (PPS Balai Raya Kampung Tandong) untuk mendapatkan perlindungan," jelasnya.

Dia turut menyifatkan bantuan wang ihsan yang diterimanya mampu membantu meringankan beban dan berterima kasih kepada kerajaan yang cukup prihatin terhadap kebajikan mangsa banjir.