'Siren tak berbunyi, kami tak reka cerita'

Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir ekoran hujan lebat. (Gambar Kecil) Misnam, Shamsuddin dan Azizi.
Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir ekoran hujan lebat. (Gambar Kecil) Misnam, Shamsuddin dan Azizi.
A
A
A

TAMPIN - Penduduk Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini menafikan mereka-reka cerita untuk memburukkan keadaan berhubung isu siren amaran banjir di kawasan itu yang tidak berfungsi.

Dalam kejadian banjir pada Sabtu lalu, 90 peratus penduduk di kawasan berkenaan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi kerana air terlalu pantas memasuki kediaman mereka.

Menurut penduduk, Misnam Miskin, 58, kali terakhir siren itu berbunyi pada bulan Oktober tahun lepas.

"Kalau siren itu berbunyi, bukan saya sekeluarga sahaja yang akan dengar tapi semua penduduk taman ini akan mendengarnya kerana ia sangat kuat dan boleh sampai ke Sungai Kelamah.

"Saya tinggal di sini pada tahun 2010 dan sejak itu sudah tiga kali berlaku banjir di sini.

Anggota bomba turun padang membantu operasi pembersihan rumah penduduk.
Anggota bomba turun padang membantu operasi pembersihan rumah penduduk.

"Siren memang akan berbunyi setiap kali banjir dan saya akan mendengarnya kerana rumah saya berada berdekatan dengan siren itu," katanya kepada Sinar Harian.

Misnam berkata, siren yang dibina atas inisiatif Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika itu merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, sangat penting kerana kawasan berkenaan kerap berlaku banjir.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apa yang paling dikesali penduduk kerana kejadian banjir yang berlaku kali ini tanpa isyarat.

"Kami bukannya mereka cerita. Kami memang tidak tahu bekalan elektrik siren itu telah dipotong kerana tiada apa-apa berlaku dan siren itu pula hanya berbunyi bila ada laluan air.

"Siren itu pandu arah untuk kami bersiap sedia. Kalau kami tahu ia telah dipotong, kami akan buat rundingan antara penduduk kerana ia keperluan semua pihak," katanya.

Dalam pada itu Azizi Mohamad, 40, pula berkata, dia sering membuat ujian terhadap sistem siren terbabit bagi memastikannya berfungsi.

Menurutnya, sebelum ini jika air melepasi siren, ia akan berbunyi tetapi tidak dalam kejadian banjir Sabtu lalu.

Pelbagai pihak tampil membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
Pelbagai pihak tampil membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

"Sudahnya kami 90 peratus keluar sehelai sepinggang, memang tidak sempat buat apa-apa. Lagi pun air naik terlalu cepat," katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi taman, Shamsuddin Omar, 60, berkata, dua minggu sebelum kejadian beliau ada pergi ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bertanya berkenaan siren tersebut sebagai persediaan menghadapi banjir.

Bagaimanapun menurut Shamsuddin, beliau diberitahu yang akaun elektrik siren tersebut telah dipotong oleh Jabatan Perhutanan.

"Siren ini dipasang oleh Jabatan Perhutanan, tapi tidak ramai yang tahu. Saya pun ada tanya Jabatan Pengairan Saliran, tapi mereka beritahu tidak tahu apa-apa berkenaan siren itu.

"Saya tinggal di sini hampir 12 tahun dan seingat saya ia dipasang pada tahun 2012 selepas diarahkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan pada tahun 2016, ia memang berbunyi apabila berlaku banjir," katanya.

Shamsuddin juga mendakwa pernah berhubung dengan Jabatan Perhutanan berkenaan dengan siren itu dan ada kakitangan yang datang membuat pemeriksaan.

Sinar Harian pada 2 Januari lalu melaporkan penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini, kecewa apabila siren amaran banjir yang dipasang di taman itu didakwa gagal berfungsi, memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.

Dalam kejadian itu, kawasan perumahan terbabit merupakan kawasan paling terjejas sehingga kesemua penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah, Gemas yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan taman perumahan berkenaan.

Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir.
Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memaklumkan sistem amaran siren banjir di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelemah di Gemas di sini, bukan dalam kawalan pihaknya.

Pengarahnya, Saleh Awaluddin berkata, timbul kekeliruan dalam kalangan penduduk kerana bil elektrik siren berkenaan telah dibayar oleh pihak jabatan sebelum ini.

Bagaimanapun, pihaknya telah membuat permohonan menutup akaun elektrik siren tersebut setelah mendapati ia bukan di bawah tanggungjawab jabatan selain keadaannya yang sudah rosak.