Sila log masuk terlebih dahulu.

Siren amaran banjir bukan dalam kawalan Jabatan Perhutanan

Laporan Sinar Harian pada Ahad berkenaan kekecewaan penduduk sebelum ini.
Laporan Sinar Harian pada Ahad berkenaan kekecewaan penduduk sebelum ini.
A
A
A

TAMPIN - Sistem amaran siren banjir di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelemah di Gemas di sini, bukan dalam kawalan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Pengarahnya, Saleh Awaluddin berkata, timbul kekeliruan dalam kalangan penduduk kerana bil elektrik siren berkenaan telah dibayar oleh pihak jabatan sebelum ini.

Bagaimanapun, pihaknya telah membuat permohonan menutup akaun elektrik siren tersebut setelah mendapati ia bukan di bawah tanggungjawab jabatan selain keadaannya yang sudah rosak.

"Maklumat awal yang saya boleh berikan itu dahulu kerana setahu saya isu banjir bukan di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan melainkan jika kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di kawasan Hutan Lipur.

"Lagipun siren itu berada di kawasan perumahan yang jelas di luar hutan simpan. Kalau betul ia di bawah Jabatan Perhutanan, saya nak kena semak kenapa ia dipasang di situ," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal beliau dimaklumkan yang Jabatan Perhutanan hanya membantu memberi pandangan kepada pihak terbabit ketika siren itu mahu dipasang.

Jelas beliau, hanya terdapat dua sistem amaran siren banjir di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan iaitu di Hutan Lipur Gua Batu Maloi di Tampin dan Hutan Lipur Ulu Bendul di Kuala Pilah.

"Saya kena buat semakan semula dan akan beri maklum balas lanjut kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad Sinar Harian online melaporkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan semakan pihaknya mendapati, kerja-kerja penutupan bekalan elektrik bagi akaun sistem amaran siren banjir di kawasan Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, mengikuti proses lazim.

TNB dalam kenyataannya pada Ahad menjelaskan, salah faham pengadu Samsudin Mohamad, 54, yang mendakwa bekalan elektrik pada sistem amaran siren banjir dipotong oleh TNB selepas Jabatan Perhutanan Negeri tidak mampu membayar bil di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas seperti dilaporkan.

Menurut kenyataan itu, semakan TNB menunjukkan Pejabat Hutan Negeri telah membuat permohonan penutupan akaun pada 12 Oktober tahun lalu berikutan siren di kedua-dua kawasan itu tidak berfungsi dan digunakan oleh penduduk di kawasan terlibat.

"Kerja-kerja penutupan bekalan bagi akaun tersebut dilaksanakan pada 14 Oktober tahun lalu mengikut proses biasa biasa yang lazim dilakukan pihaknya.

"Hasil semakan juga menunjukkan tiada sebarang tunggakan pada akaun tersebut," katanya.