Beri kuarantin percuma kepada jemaah umrah: Bumitra

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) berharap agar kerajaan memberikan kuarantin secara percuma kepada jemaah umrah yang tidak berkemampuan.

Presidennya, Harun Kc Ahmmu berkata, ini kerana bermula Isnin, kerajaan telah mewajibkan jemaah umrah dikuarantin di tempat yang ditetapkan dengan kos sekitar RM250 hingga RM355 sehari.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kos kuarantin bagi jemaah yang berkemampuan dikembalikan kepada harga asal iaitu RM150.

“Kami harap KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) memberikan kuarantin percuma dan beri pilihan kepada mereka yang mampu untuk menginap di hotel.

“Ini kerana, bermula hari ini (Isnin), bagi jemaah umrah yang tiba pada jam 11 pagi, mereka diwajibkan kuarantin dan harga caj ini dinaikkan.

“Caj kuarantin dinaikkan kepada RM250 hingga RM355 sehari untuk seorang. Jadi kami memohon agar caj ini dikembalikan kepada RM150 sehari,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar berkaitan implikasi kerugian yang ditanggung oleh jemaah dan pengendali umrah akibat penangguhan sementara yang diumumkan KKM.

Selain itu, Harun mencadangkan agar koordinasi dan kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan dalam membantu ketibaan jemaah umrah diperbaiki dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, proses saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan pengendalian khusus jemaah umrah warga emas juga perlu ditambah baik bagi mengelakkan kesesakan di kaunter saringan.

“Selain itu, kami berharap agar kos kerugian yang ditanggung akibat penangguhan ini dipulangkan semula.

“Bumitra juga memohon agar kajian semula dibuat mengenai implikasi yang diterima oleh jemaah dan pengendali umrah,” ujarnya.