Sila log masuk terlebih dahulu.

Penduduk siap sedia hadapi air pasang besar

Yahya sudah mengalihkan barangan elektrik ke tempat lebih tinggi sejak Jumaat lalu.
Yahya sudah mengalihkan barangan elektrik ke tempat lebih tinggi sejak Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk yang menetap di kawasan pesisir pantai di sini telah membuat persediaan awal bagi menghadapi air pasang besar yang bermula Isnin.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Janggut, Yahya Ibrahim, 54, berkata, segala persiapan untuk mengalihkan barangan elektrik dan perabot ke tempat lebih tinggi telah dilakukan sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, persiapan itu dilakukan kerana bimbang jika air laut bertembung dengan hujan dan angin kencang menyebabkan air akan melimpah ke rumahnya.

"Paling ditakuti apabila ban pecah disebabkan fenomena air pasang besar seperti yang pernah berlaku pada tahun lalu.

"Saya masih ingat kejadian fenomena air pasang besar pada November tahun lalu menyebabkan air masuk sampai ke rumah meskipun kawasan laman rumah sudah ditinggikan dan mempunyai struktur konkrit beam (besi rasuk)," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Yahya berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berikutan fenomena yang tidak dijangka itu.

"Rumah saya antara yang paling hampir dengan pantai iaitu terletak hanya kira-kira 300 meter sahaja, segala kemungkinan boleh berlaku termasuk limpahan air laut.

"Bayangkan kalau air laut masuk ke rumah dan jika tiada sebarang persiapan, sudah tentu barangan perabot dan elektrik boleh rosak akibat ditenggelami air masin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk di Jalan Jati Sungai Sembilang, Mokhtar Md Yunus, 54, berkata, kejadian fenomena air pasang besar paling teruk melanda rumahnya dua tahun lalu.

Katanya, lebih 10 kali rumahnya dimasuki air laut disebabkan kawasan kediamannya yang rendah dan berhampiran pantai.

"Kali terakhir rumah saya dinaiki air pada tahun lalu manakala keadaan tahun sebelumnya lebih teruk," ujarnya.

Mohktar yang bekerja sebagai nelayan berkata, fenomena air pasang kali ini berskala kecil berbanding sebelumnya.

"Bagaimanapun fenomena ini tetap bahaya jika disertai hujan berterusan dan angin kuat kerana boleh menyebabkan ban sedia ada pecah atau runtuh.

"Saya merayu kepada kerajaan supaya sentiasa selenggara ban dan membuat penambahan bagi mengukuhkan benteng penahan ombak sedia ada," jelasnya.