BWI selesai diagihkan kepada 28,258 ketua isi rumah

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Bantuan wang ihsan (BWI) selesai diagihkan kepada 28,258 daripada 46,162 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari selepas mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

"Bagi mempermudahkan urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Disember lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, daripada 51 kematian akibat bencana banjir yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tempoh sama, seramai 38 waris mangsa telah pun menerima BWI pengurusan kematian.

"Lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak telah mencapai 100 peratus pembayaran BWI kepada KIR yang terkesan sementara, Pahang mencapai 65.5 peratus, Negeri Sembilan (82.7 peratus) dan Selangor (47.6 peratus)," katanya.

Beliau berkata, penyelarasan yang dibuat dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat-pejabat daerah dijangka selesai diagihkan Rabu ini.

"Ini tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua," katanya.

Ismail Sabri dalam pada itu telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang telah ditubuhkan bagi mengurus inisiatif pasca banjir.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat tersebut dihadiri menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan pegawai tertinggi kerajaan.

Ujarnya, sehingga 1 Januari, sejumlah RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro BSN untuk isi rumah telah diluluskan sejak ia dilancarkan pada 27 Disember lalu.

"Bagi sumbangan GLC Disaster Recovery Network (GDRN), 60 peratus daripada sumbangan berjumlah RM58 juta telah berjaya dilaksanakan," katanya.

Berikutan pengumuman kerajaan mengenai pemberian baucar pembelian barangan elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) akan menggunakan mekanisme Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) iaitu penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula Jumaat ini.

"Pada tarikh sama, diskaun dan baucar pembaikan kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan dari 19 Disember," katanya.

Permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS (BNM) telah mula dibuka pada 27 Disember manakala permohonan moratorium sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember.

"Bagi Pinjaman Tekun untuk PMKS yang telah diumumkan pada 20 Disember, pelaksanaan telah pun bermula pada 1 Januari lalu melibatkan dana sebanyak RM30 juta," katanya.

Bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam dana berjumlah RM25 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Menurut Kementerian Kerja Raya (JKR) terdapat 895 lokasi bencana dikesan sepanjang MTL 2021/2022 yang melibatkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, dan jambatan runtuh atau rosak," katanya.

Ujar Ismail Sabri, inisiatif pemulihan melibatkan kos sebanyak RM967.2 juta.

"Sebanyak 802 lokasi telah selesai aktiviti pembersihan dan pembaikan kekal dijangka dilaksanakan bermula Januari dan selesai pada Jun depan," katanya.

Penyelarasan usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan telah melibatkan tenaga kerja hampir separuh daripada penjawat awam Persekutuan dan Negeri di seluruh Malaysia.

"Bagi mereka yang menerima bantuan Kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) dinasihatkan agar berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti penipuan," katanya.

Tambahnya lagi, pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 akan sentiasa dipantau pasukan petugas bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa diperkemas serta berada pada tahap optimum.