KWSP bukan penyelesaian cabaran, simpanan masa tua juga sama penting

Tengku Zafrul. - Foto fail Bernama
Tengku Zafrul. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sepatutnya dilihat sebagai penyelesaian bagi sesuatu cabaran kerana ia dikhuatiri akan membebankan pencarum pada masa tua mereka terutama sekali apabila Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030, kata Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ini bermaksud dalam masa lapan tahun sahaja golongan pesara dan warga tua akan merangkumi 15 peratus atau lebih 5.3 juta daripada penduduk negara dan mereka akan memerlukan simpanan yang lebih banyak untuk membiayai sara hidup selepas bersara," katanya menerusi laman Facebook beliau pada Ahad.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab desakan beberapa pihak agar kerajaan membenarkan pencarum KWSP yang terjejas dengan bencana banjir membuat pengeluaran sekali i-Citra sebanyak RM10,000 bagi tujuan membaik pulih rumah dan kenderaan mereka.

Menurutnya, simpanan KWSP adalah bertujuan sebagai persediaan kepada pencarum pada hari tua mereka, apabila kudrat untuk terus bekerja mula berkurangan.

Beliau berkata, kerajaan telahpun menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu rakyat tidak kira sama ada akibat bencana banjir mahupun pandemik Covid-19.

Setakat hari ini, katanya, melalui i-lestari, i-Sinar dan i-Citra, setiap ahli KWSP telah dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM71,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM101 bilion.

Selain itu kerajaan juga telah menyediakan bantuan kewangan lain bagi tujuan membantu aliran tunai golongan B40 dan M40 berjumlah RM10 bilion melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan juga Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang dimanfaatkan kira-kira 11 juta penerima.

“Jikalau kita terus membenarkan pengeluaran untuk setiap bencana, sampai bila-bila pun simpanan hari tua tidak tercapai matlamatnya.

Artikel Berkaitan:

"Percayalah dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan sahaja bagi tempoh jangka pendek tapi juga kesejahteraan jangka panjang untuk anak cucu kita kelak," katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan simpanan kini berada di tahap amat membimbangkan dengan memberi contoh bahawa median simpanan B40 adalah sebanyak RM1,000 dan jika nilai ini kekal sehingga hari persaraan mereka hanya akan mempunyai RM4 sebulan untuk tempoh 20 tahun, manakala bagi ahli M40, jumlah tersebut adalah RM25,000 atau RM104 sebulan pada hari persaraan untuk tempoh yang sama.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan wang ihsan yang ditingkatkan kepada RM1,000 kepada mangsa banjir baru-baru ini serta pelbagai jenis bantuan lain seperti untuk membeli perkakasan elektrik, membaiki kenderaan, diskaun sehingga 50 peratus bagi alat ganti kereta, pembiayaan pada kadar faedah sifar peratus, moratorium dan banyak lagi. - Bernama