i-Citra RM10,000: Jangan beri alasan simpanan hari tua

 Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon kerajaan atau mana-mana kesatuan sekerja untuk tidak menggunakan alasan simpanan hari tua berhubung isu pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra sebanyak RM10,000.

Menurut beliau, situasi pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) amat sukar bagi kebanyakan rakyat, apatah lagi mereka yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan, dicutikan tanpa gaji, dipotong gaji dan kerugian perniagaan.

“Ramai rakyat yang terbeban dengan pelbagai komitmen dan hutang tertunggak sehinggakan ada yang sanggup membuat pinjaman daripada syarikat wang tidak berlesen akibat terdesak.

“Ramai yang mengadu jumlah kerugian untuk membaiki kereta rosak akibat dimasuki air secara purata RM4,000 dan ada yang mencecah belasan ribu.

“Itu masih belum ambil kira kerosakan rumah yang lain seperti rumah, perkakas elektrik, perabot dan pelbagai keperluan yang lain untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Hakikatnya, kata beliau Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 yang dijanjikan oleh kerajaan untuk mangsa banjir tidak mencukupi.

Asyraf Wajdi berkata, benar alasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang disokong bersama kesatuan sekerja bahawa rakyat harus berwaspada bagi simpanan hari tua, namun keadaan rakyat pada masa kini menuntut di luar norma biasa.

“Janganlah gunakan alasan 20 peratus tidak ada simpanan untuk hari tua, 45 peratus hanya simpanan bawah RM10,000.

Artikel Berkaitan:

“Realitinya, rakyat yang memohon kerana mereka masih mempunyai wang simpanan di KWSP yang banyak, maka atas sebab itulah mereka menuntut pengeluaran tersebut.

“Sekiranya kerajaan memberi peluang terakhir, Pemuda UMNO percaya rakyat boleh memulakan kehidupan baharu dan bekerja lebih kuat untuk menampung caruman demi keperluan pada hari tua kelak,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan sentiasa memperjuangkan hak dan isu-isu sebegini kerana menerima ratusan aduan pada masa sama, rakyat sangat berharap kerana mereka dalam keadaan terdesak.