Pegawai pertandingan perlu lebih konsisten

Stuivenberg memberi arahan kepada para pemain Arsenal ketika melayan kunjungan Manchester City di Stadium Emirates. - Foto AFP
Stuivenberg memberi arahan kepada para pemain Arsenal ketika melayan kunjungan Manchester City di Stadium Emirates. - Foto AFP
A
A
A

PENOLONG pengurus Arsenal, Albert Stuivenberg menggesa pegawai pertandingan supaya lebih konsisten dalam penggunaan video bantuan pengadil (VAR) berkenaan isu penalti selepas kekalahan 2-1 di Stadium Emirates dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Manchester City pada Sabtu.

Arsenal mendahului menerusi Bukayo Saka pada minit ke-31 sebelum pelawat menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti Riyad Mahrez (57') apabila Granit Xhaka mengasari pemain City, Bernardo Silva di dalam kotak selepas semakan VAR diikuti jaringan minit ke-93 Rodri mengesahkan kemenangan The Citizens.

Stuivenberg berkata, Arsenal yang bermain setengah jam terakhir dengan 10 pemain selepas pertahanan Gabriel dilayangkan kad merah, dinafikan penalti apabila penjaga gol City, Ederson mengasari Martin Odegaard pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun dakwanya, pengadil Stuart Attwell tidak menyemak insiden berkenaan pada VAR.

“Saya fikir ia adalah penalti yang jelas atau sekurang-kurangnya pengadil mengambil sedikit masa menyemak dengan VAR. Itu juga berlaku pada separuh masa kedua dengan penalti mereka yang sebenarnya tidak konsisten.

“Tetapi kami masih mempamerkan persembahan yang sangat baik dalam cara kami bertahan dengan 10 pemain menentang kelab yang sangat kuat.

“Saya sangat berbangga dengan apa yang diberikan para pemain Arsenal ini. Anda bandingkan dengan permulaan musim, dari kami datang dan kami berada sekarang, menentang antara kelab terbaik di dunia, bersaing seperti ini... Itu adalah sesuatu yang boleh kita bina,” katanya.

Artikel Berkaitan: