Lima lelaki ditahan miliki air, daun ketum

Polis menemui air dan daun ketum di sebuah rumah di Felda Pasir Besar,Gemas. Foto: Ihsan PDRM
Polis menemui air dan daun ketum di sebuah rumah di Felda Pasir Besar,Gemas. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

TAMPIN - Polis menahan lima lelaki di sebuah rumah di Felda Pasir Besar, Gemas selepas dipercayai memiliki air dan daun ketum dalam satu serbuan pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tampin telah menahan lima lelaki berumur lingkungan antara 34 hingga 59 tahun di rumah berkenaan jam 12.15 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai 80 botol plastik yang mengandungi air ketum dengan anggaran isipadu 120,000 mililiter.

"Selain itu, 10 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun-daun ketum seberat 70,000 gram turut dijumpai di sekitar kawasan rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, hasil ujian saringan awal mendapati salah seorang daripada suspek positif morfin.

"Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun AR 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Berdasarkan siasatan awal, air ketum tersebut adalah untuk dijual kepada penduduk di sekitar Pasir Besar, Gemas," jelasnya.

Artikel Berkaitan: