Rexy akan cadangkan pengganti Chong Ming

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky akan mencadangkan pengganti Chan Chong Ming berikutan peletakan jawatan sebagai jurulatih skuad beregu wanita kebangsaan, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Kenny Goh menjangkakan Rexy akan mengemukakan cadangan itu berserta dengan penilaian prestasi tahunan pemain dan jurulatih dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Rexy akan memberi cadangan siapa yang patut menggantikan Chong Ming dalam tempoh sebulan dari sekarang atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya yang dihubungi pada Sabtu.

BAM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mereka telah mencapai keputusan untuk menerima surat peletakan jawatan Chong Ming.

Menurut BAM, jurulatih berusia 41 tahun itu melepaskan jawatannya secara persetujuan bersama selepas menyertai badan induk itu pada Julai 2020.

Selasa lepas, Kenny yang juga Setiausaha Agung BAM berkata, penilaian prestasi tahunan yang sepatutnya diselesaikan lebih awal telah ditangguhkan hingga bulan ini selepas Rexy yang hanya melaporkan diri bertugas pada 1 Disember telah meminta masa untuk menilai pemain dan jurulatih.

Beliau berkata, setiap orang daripada pengurusan, pengarah kejurulatihan, jurulatih dan pemain perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dikehendaki dan tidak menolak kemungkinan beberapa orang daripada mereka mungkin tersingkir selepas penilaian. - Bernama

Artikel Berkaitan: