24 warga asing ditahan berpesta tepi pantai Port Dickson

Polis membuat pemeriksaan warga asing yang ditahan di pantai Teluk Kemang pada Sabtu.
Polis membuat pemeriksaan warga asing yang ditahan di pantai Teluk Kemang pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 24 warga asing yang sedang berpesta menyambut tahun baharu di tepi pantai Port Dickson ditahan pihak berkuasa pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi bersepadu yang bermula jam 11 malam sehingga 3 pagi itu dilakukan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran ramai warga asing berkumpul di tepi pantai sejak tiga minggu lalu.

"Bertindak atas maklumat itu, kita melakukan serbuan di pantai Telok Kemang dan menahan 12 wanita warga Thailand, dua lelaki dan dua wanita Nigeria, empat wanita Filipina, dua wanita Indonesia, seorang lelaki dan seorang wanita Sierra Leone.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pasport sah dan visa sudah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, ketika serbuan pihak MPPD turut menyita beberapa peralatan menghisap shisha berdekatan stor pam air dipercayai milik kumpulan warga asing berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh sepasukan MPPD juga menemui bungkusan plastik mengandungi ketulan daun kering serta gulungan rokok disyaki ganja dianggarkan seberat 86.11 gram.

"Ujian air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, sebuah pusat karaoke di Bandar Dataran Segar, Lukut dikenakan kompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana gagal mengawal jumlah pengunjung serta tiada penjarakan fizikal.

Operasi bersepadu berkenaan turut dibantu Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Pejabat Kesihatan Port Dickson.