X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Sembilan kluster libatkan jemaah umrah dikenal pasti

Khairy Jamaluddin pada sidang media di Parlimen pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak sembilan kluster melibatkan jemaah umrah dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas kerajaan mengumumkan aktiviti menunaikan umrah dibuka semula mulai 13 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks dipercayai Omicron dan tiga kluster melibatkan kes positif yang bukan varian berkenan.

Jelasnya, sehingga 30 Disember, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif Covid-19.

“Perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah ini kepada risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron.

“Situasi ini menyukarkan para jemaah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif.

“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes Covid-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Sabtu.

Tambahnya, kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin.

Namun katanya, apabila berlaku tidak kepatuhan kepada SOP ditetapkan, kes-kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

“Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan virus ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!